GHAZAL, persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang. Ghazal berasal daripada tradisi muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah. Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan, meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan.

Cik Putih Hashim Lagenda Ghazal Parti

Ghazal Parti Persembahan Lengkap

Ahad, 2 Ogos 2009

Adik Dan Hanis, Penari Ghazal Parti Yang Serasi



Adik dan Hanis, dua orang penari Ghazal Parti dari Kedah. Mereka berdua merupakan pasangan yang serasi kerana sentiasa berdua ketika membuat persembahan tarian Ghazal Parti. Adik dan Hanis pernah muncul dalam Ghazal Parti rancangan TV1 - Harmoni Malaysia tidak lama dulu dan diulangkan siarannya baru-baru ini.

Persembahan Ghazal Parti tanpa penari dan pelawak tidak akan lengkap kerana sejak di zaman dahulu gabungan mereka telah menghidupkan seni warisan dari Utara Malaysia ini. Dalam satu-satu undangan persembahan Ghazal Parti terpulanglah kepada penganjur samaada mahukan penari, pelawak ataupun tidak. Jika tanpa mereka, persembahan itu eloklah dipanggil Kumpulan Lagu-Lagu Irama Padang Pasir sahaja, bukan Ghazal Parti.

Gambar: Kiri dikenali sebagai Adik dan kanan dikenali sebagai Hanis.

Ahad, 26 Julai 2009

Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas Di Hadapan Muzium Islam P. Pinang






Kumpulan Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas Seberang Perai, salah satu kumpulan ghazal parti yang tertua di Malaysia telah diundang membuat persembahan di hadapan Muzium Islam Lebuh Armenian Pulau Pinang pada petang dan malam 25hb. Julai 2009. Persembahan ini sempena acara PERAYAAN SAMBUTAN ULANG TAHUN PERTAMA BANDAR GEORGE TOWN SEBAGAI TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO.

Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas dibawah pimpinan Kassim (pemain akordian). Penari-penari pula terdiri dari Adik dan Hanis dan pelawak oleh Chop Misai Kontot dan Tok Moh. Penyanyinya pula terdiri dari Syaifaana, S.M. Ahmad, Yusof Saidi dan Majid. Antara barisan pemuzik ialah Kassim, Halim, Zakaria, Osman, Awang dan Mat dan beberapa orang lagi.

Penonton yang kebanyakkannya terdiri dari pelancong dan orang-orang bukan Melayu tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan yang jarang mereka ikuti ini dan telah merakamkan gambar-gambar persembahan.

Antara lagu-lagu yang dimainkan ialah lagu-lagu padang pasir, hindustan, melayu, asli, inggeris, thai dan instrumental timur tengah. Penonton juga terhibur menyaksikan pasangan pelawak Chop Misai Kontot dan Tok Moh yang mencuit hati mereka dengan jenaka-jenaka ala ghazal parti sambil menari dengan penari-penari ghazal yang jelita.

Jumaat, 24 Julai 2009

Ghazal Parti Di Muzium Islam Petang Dan Malam Ini 25 Julai 2009

Petang dan malam ini (Sabtu 25 Julai 2009) persembahan Ghazal Parti di Kawasan Muzium Islam Lebuh Armenian Pulau Pinang. Persembahan bermula jam 5.00 petang hingga ke malam oleh Kumpulan Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas. Datanglah beramai-ramai saksikan kesenian warisan Pulau Pinang ini.

Selasa, 30 Jun 2009

Sayuti Hj. Ahmad Penggesek Biola Ghazal Parti Meninggal

Dengan sedihnya dimaklumkan, penggesek biola dan penyanyi lagu irama padang pasir Ghazal Parti saudara Sayuti Hj. Ahmad yang tinggal di Jarak, Seberang Perai telah kembali ke Rahmatullah petang tadi jam 3.30 petang (30hb. Jun 2009). Saya sahkan dengan Ahmadi Hassan di Kuala Lumpur dan Ahmadi menalifon kakaknya di Jarak dan dimaklumkan berita ini.

Dalam perbualan telefon saya dengan pemain akordian dan pemimpin Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas saudara Kassim, dia memberitahu pagi tadi jam 10 pagi dia jumpa dengan Allahyarham Sayuti di Bandar Perda, Seberang Perai. Allahyarham sempat berbual dengannya dan memberitahu dia ada bermain Ghazal Parti di Kedah malam sebelumnya.

Saya akan cuba dapatkan gambar Allahyarham selepas ini. Al Fatihah!

Isnin, 22 Jun 2009

Tiga Kumpulan Ghazal Parti Bergabung Di Satu Persembahan






Putih Hashim yang dahulunya dari Cahaya Mata Ghazal Parti Sungai Bakau kini tubuhkan pula Fajar Irama Ghazal Parti Sungai Bakau. Kerap juga mendapat undangan terutamanya di Majlis-Majlis Perkahwinan sekitar Utara.

Disiarkan di sini gambar-gambar persembahan Ghazal Parti yang diambil melalui rakaman video di Majlis Perkahwinan Permatang Pauh, Seberang Perai tidak lama dulu. Persembahan ini digabungkan dengan tiga kumpulan ghazal parti iaitu Fajar Irama Ghazal Parti Sungai Bakau, Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas dan Ghazal Parti Terolak, Perak. Pemain muzik ghazal parti dari Yan Kedah juga turut bersama.

Pelawak terdiri dari Ustaz Rashid Taliban dan Chop Misai Kontot. Dua orang penari juga turut serta (seorang daripadanya dari Taiping, Perak).

Begitulah bukan senang hendak mengadakan persembahan ghazal parti kerana sejak akhir-akhir ini bilangan ahlinya yang berkebolehan semakin berkurang. Ramai boleh bermain alat muzik tapi tidak tahu lagu-lagu berirama Padang Pasir yang menjadi tunggak utama persembahan ghazal parti ini. Pemain-pemain gambus, akordian, flute dan biola yang berpengetahuan irama ghazal parti juga semakin kurang.

Putih Hashim tidak pernah berputus asa. Usia tidak menghalang baginya untuk terus memperjuangkan warisan ghazal parti yang satu waktu dulu terkenal dan dibanggakan di Utara Malaysia ini.

Ahad, 31 Mei 2009

Fajar Irama Ghazal Parti Di Sungai Burung Tanjong Piandang Perak






Majlis Perkahwinan pasangan pengantin Noralia Abd. Rashid dan Mohd. Zaire M. Khalit yang berlangsung di Parit Sungai Burung, Tanjong Piandang, Perak pada 30hb. Mei 2009 meriah dengan persembahan Ghazal Parti yang diadakan pada sebelah malamnya. Kumpulan Gahazal Parti Fajar Irama Parit Buntar di bawah pimpinan Putih Hashim mengucapkan terima kasih kepada Tuan Rumah Datuk Abd. Rashid bin Hj. Salleh yang telah mengundang kumpulan ini membuat persembahan.

Seperti biasa, persembahan ghazal parti yang menampilkan keaslian warisannya telah menyampaikan beberapa buah lagu berirama padang pasir, hindustan dan Melayu. Pelawak Chop Misai Kontot dan Saad Kueh Lapis juga turut menghiburkan penonton dengan telatah-telatah jenaka mereka di sepanjang persembahan. Empat orang penari lama dan baru juga turut menunjukkan tarian-tarian mereka mengikut irama lagu yang dimainkan dalam persembahan ghazal parti tersebut.

Ramai penduduk-penduduk Parit Sungai Burung dan kawasan sekitarnya Tanjong Piandang, Perak turut menyaksikan persembahan yang jarang-jarang sekali dapat disaksikan pada masa ini. Persembahan ghazal parti memang menghiburkan kerana ianya lain dari kumpulan muzik yang lain.

Sebagai seorang pemerhati, penggiat seni dan pengendali laman blog Warisan Ghazal Parti ini saya nampak Kumpulan Ghazal Parti pimpinan Putih Hashim ini telah menampakkan kemajuannya. Ghazal Parti Fajar Irama dapat berdiri sendiri dan semakin mantap disamping dapat mengembalikan nostalgia ghazal parti yang pernah popular di tahun 50an dan 60an dahulu terutamanya di Utara Malaysia.

Gambar-gambar oleh Omar M. Hashim (OMARA)

Rabu, 13 Mei 2009

Double Bass Gegarkan Persembahan Ghazal Parti




Dalam persembahan asal Ghazal Parti, alat muzik 'double bass' merupakan tarikan penting kepada persembahannya. Walaupun alat muzik ini besar dan sukar untuk di pindahkan ke sana ke mari, namun penggunaannya adalah dimestikan. Sebuah kereta atau van perlu untuk membawa 'double bass' ini.

Saya sendiri yang membesar di zaman kegemilangan Ghazal Parti di Utara memang terhibur mendengar alunan muzik irama padang pasir yang dimain dengan menggunakan double bass. Bagi saya dari segi pendengaran, double bass mempunyai getaran yang lebih dan bergema dalam setiap persembahan berbanding dengan gitar bass biasa yang menggunakan elektrik. Mungkin kerana tali alat muzik besar ini ditarik oleh pemainnya dan sesuai pula dengan badannya yang besar dapat menghasilkan dengung yang tegap.

Bentuk double bass juga menarik (sama tinggi dengan pemainnya). Pelawak-pelawak Ghazal Parti zaman dahulu kerap menggunakan alat muzik ini sebagai bahan lawak jenaka mereka di pentas. Saya pernah saksikan pelawak Harun Kastila dan Daud Bujang menggunakan double bass sebagai motosikal dalam lawak mereka. Begitu juga pelawak Hassan Putu Mayong yang banyak mendapat idea lucu dari alat ini.

Mungkin kerana bentuknya yang besar dan tinggi (berat juga) membuatkan persembahan-persembahan Ghazal Parti sekarang tidak lagi menggunakannya. Gitar Bass menggantikannya kerana lebih mudah dibawa ke mana-mana. Dalam rakaman Ghazal Parti untuk rancangan Harmoni Malaysia di TV1 tidak lama dulu, saya yang menguruskannya meminta pihak penerbit rancangan tersebut menyediakan Double Bass untuk persembahan Aginda Ghazal Parti Kepala Batas. Saya ingin kembalikan nostalgia Ghazal Parti asal yang kini banyak berubah.

Sabtu, 11 April 2009

Ghazal Parti Nurul Qamar Nibong Tebal



Saya terima email dan dua keping gambar lama yang tinggi nilainya dari Ahmad Fathi bin Osman, 43 tahun iaitu anak kepada Allahyarham Osman bin Sudin (barisan hadapan no. 3 dari kiri) iaitu pemimpin Kumpulan Ghazalparti Nurul Qamar, Cangkat Baruh Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan yang popular sekitar tahun 70an tidak lama dulu.

Allahyarham Osman meninggal dunia pada tahun 1973 ketika anaknya Ahmad Fathi berusia 8 tahun, Menurut Ahmad Fathi yang terkilan kerana tidak dapat mempelajari lebih mendalam seni ghazal parti ini kerana usianya terlalu muda ketika itu, bapanya dulu bekerja sebagai tukang gunting rambut bersama rakannya (mungkin nama Jaafar) peranan utama dalam kumpulan ini sebagai penyanyi utama dan penganti pelawak.

Osman juga pernah mewakili Negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan Pertandingan Berzanji mungkin sekitar tahun 1969 disamping memimpin pasukan kompang Kampung Bagan Datuk , Sungai Bakap.

Antara yang Ahmad Fathi masih ingat nama di dalam gambar ini ialah (jika tak silap) Bahari (barisan hadapan no 3 dari kanan), Harun Yusuf (barisan belakang no1 dari kanan), Atan (barisan belakang no 3 dari kanan) dan juga Omar (barisan belakang no 3 dari kiri, kini berkerja sebagai tukang gunting rambut di Pekan Kepala Batas, Seberang Perai Utara.

Gambar di atas diambil sekitar awal tahun 70an. Terima Kasih Ahmad Fathi dan keluarga.

Rabu, 8 April 2009

Lelaki Berpakaian Perempuan Tujuan Dokumentasi




Seperti yang kita sedia maklum, persembahan asal Ghazal Parti memang tidak dapat dipisahkan dengan penari-penarinya. Lelaki berpakaian perempuan (kerana pada zaman dahulu perempuan tidak dibenarkan oleh keluarga mereka naik ke pentas). Dalam perbualan saya dengan Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia baru-baru ini, beliau memberitahu untuk tujuan dokumentasi segala ciri-ciri yang terdapat dalam persembahan Ghazal Parti ini hendaklah dikekalkan.

Dari segi kesenian dan warisan, boria, makyong dan beberapa kesenian lain juga ada ciri-ciri begini. Kita tidak menggalakkan lelaki berpakaian perempuan atau perempuan berpakaian lelaki, tetapi ianya hanya perlu untuk tujuan dokumentasi sahaja.

Gambar: Pelakon Sketsa Boria, persembahan Makyong dan Tarian Ghazal Parti

Sabtu, 21 Februari 2009

Pak Don, Pemain Drum Asal Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas Meninggal Dunia


Pak Abdul Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Dun, 88tahun iaitu pemain drum asal Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas telah kembali keRahmatullah pada 19 Februari 2009 baru-baru ini kerana penyakit tua. Beliau yang berasal dari Prai, Seberang Perai meninggal dunia di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. 

Pak Dun adalah pemain Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas yang paling lama baru meninggal dunia. Beliau telah bermain ghazal parti semenjak awal tahun 1940an. Kadang-kadang jika pelawak Hassan Putu Mayong atau Hussin Kachong tidak ada, beliau juga bermain lawak jenaka. Pemergian Pak Don mengakhiri kumpulan pemain-pemain asal ghazal parti ini.

Semoga Allah cucurkan RahmatNya ke atas ruh Allahyarham.

Sabtu, 14 Februari 2009

Deris Cabai Kering - Pelawak Ghazal Parti Era 80an




Idris ataupun dalam bidang lawak jenaka dan persembahan ghazal parti beliau lebih dengan panggilan Deris Cabai Kering. Mungkin kerana Idris rendah dan kurus ketika itu maka gelaran 'cabai kering' diberikan kepadanya. Setahu saya Idris kerap berpasangan dengan Non Cina atau Zainal C. atau juga lebih dikenali dengan panggilan Pak Man Telo ketika berlawak.

Sebelum Pak Man Telo berpasangan lawak dengan Rosely Abdullah ataupun Chik, Idris adalah pasangan lawaknya di awal tahun 80an. Seperti pelawak-pelawak ghazal parti yang lain, penampilan deris dan non memang mencuitkan hati penonton. Mereka juga menari dengan penari-penari ghazal parti sambil beraksi telatah-telatah lucu. Beliau dan Pak Man Telo juga pernah muncul berlawak di Tv1 RTM dalam rancangan Jenaka terbitan A.R. Badul dalam tahun 80an.

Idris (gambar kiri paling terbaru yang saya ambil di Kampungnya Juru, Bukit Mertajam pada Disember 2008) kini tidak mahu berlawak lagi. Dia senang berniaga di kedai gunting rambut kepunyaannya di tepi jalan Juru.

Khamis, 5 Februari 2009

Maklumat Ghazal Parti Di Utara

Terima kasih kerana ramai juga yang meminati dan melayari Blog Warisan Ghazal Parti ini. Saya sedang berusaha mendapatkan bahan-bahan mengenai Ghazal Parti dari seluruh utara. Ada beberapa lagi kumpulan Ghazal Parti yang saya belum temui, antaranya ialah;

1. Ghazal Parti Sungai Baru, Kuala Kurau, Perak.
2. Ghazal Parti Sungai Petani, Kedah.
3. Ghazal Parti Mergong, Alor Setar, Kedah.
4. Ghazal Parti Bukit Raya, Pendang, Kedah.
5. Ghazal Parti, Terolak, Perak.
6. Ghazal Parti, Sungai Bayu, Selama, Perak.
dan beberapa kumpulan lagi.

Jika saudara/saudari mempunyai maklumat atau ada gambar-gambar yang berkaitan, silalah hubungi saya Omara - 013-4220091. Sama-sama kita martabatkan Warisan Ghazal Parti Utara.

Ahad, 18 Januari 2009

TERKINI - Nasir Pemimpin Ghazal Parti Telok Air Tawar Meninggal Dunia


19 Januari 2009 - Pemimpin Ghazal Parti Telok Air Tawar, Butterworth Sdr. Nasir, 52 tahun, telah kembali ke Rahmatullah. Jenazahnya telah dikebumikan pukul 3 petang.

Pada sebelah pagi, Jenazah Nasir berada di rumahnya di Bagan Belat, Telok Air Tawar, Butterworth. Saya turut menziarahi jenazahnya bersama-sama dengan pelawak Chik yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah Nasir pukul 11 pagi.

Kali terakhir saya temui beliau semasa mengundang kumpulannya mengadakan persembahan Ghazal Parti di Festival Merakyatkan Seni di Sungai Ara, Pulau Pinang kira-kira sebulan yang lalu.

Warisan Ghazal Parti mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Marilah sama-sama kita hadiahkan Fatihah kepada arwah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

- Omara (Penyusun Blog Warisan Ghazal Parti)

Selasa, 13 Januari 2009

Irama Baru Deejavanis Ghazal Parti di Padang Kota

September 1980. Saya (Penyusun Blog Warisan Ghazal Parti) bersama-sama dengan (dari kanan ke kiri) Pelawak Ghazal Parti iaitu Non Pak Man Telo, Deris Cabai Kering, Pengacara Ghazal Parti iaitu Mansur Darus dan juga beberapa orang pelancong barat berbual-bual di sebuah gerai Padang Kota Lama, Pulau Pinang.


Gambar Kanan - Kumpulan Irama Baru Deejavanis Ghazal Parti sedang membuat persembahan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang disaksikan ramai penonton.

- foto-foto oleh : Omar M. Hashim (OMARA)

Khamis, 8 Januari 2009

Din Kachong dan Hassan Putu Mayong Pelawak Ghazal Parti


Allahyarham Din Kachong dan Hassan Putu Mayong merupakan pelawak Ghazal Parti yang tidak asing lagi di Utara. Kemunculan mereka di pentas-pentas persembahan Ghazal Parti memang dinanti-nantikan.

Allahyarham Hassan Putu Mayong ataupun lebih senang dipanggil Pak Hassan memang tidak ada tandingnya sehingga kini dibidang lawak jenaka. Idea dan caranya berlawak seorang diri memang menggelikan hati.

Mereka pernah memenangi Juara Bakat TV anjuran RTM bersama-sama dengan pelawak Maidin Ibrahim.

- Foto ini saya dapati dari isteri Allahyarham Din Kachong di Kepala Batas, Seberang Perai tidak lama dulu. - (OMARA)

Selasa, 16 Disember 2008

GHAZAL PARTI MERIAHKAN FESTIVAL MERAKYATKAN SENI SUNGAI ARA


Ghazal Parti Teluk Air Tawar, Butterworth dibawah pimpinan Encik Nasir turut memeriahkan Malam Festival Merakyatkan Seni Anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Perkarangan Taman Desaria Sri Merpati, Sungai Ara, Pulau Pinang pada malam 14 Disember 2008 jam 9.00 malam.

Dua buah lagu Irama Padang Pasir telah mengiringi penari-penari dan pelawak ghazal parti,

Chop Misai Kontot dan Bakar Panjang telah menghiburkan penonton dengan telatah-telatah lucu sepanjang persembahan tersebut.










Jumaat, 28 November 2008

Ghazal Parti Pulau Pinang di Dataran Merdeka

Dalam sejarah Ghazal Parti, inilah kali pertama ianya dipersembahkan di sebuah majlis bersejarah yang dilangsungkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22hb. November 2008 jam 8.00 malam.

Majlis penyerahan Watikah Unesco, Melaka dan Georgetown: Bandaraya Bersejarah di Selat Melaka yang berlangsung di Dataran Merdeka, malam tadi.

Pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia adalah yang terbesar dianugerahkan World Heritage Centre Unesco yang dilihat lonjakan besar dalam usaha mempromosikan khazanah warisan di sesebuah negara. 

Ghazal Parti di bawah pimpinan Putih Hashim terdiri dari 15 orang anggota. Putih Hashim sendiri menyampaikan sebuah lagu Arab yang tidak asing lagi iaitu 'Alabaladin' sambil menggesek biola.

                                                              
Pelawak Chop Misai Kontot (Pak
Kojek) dan Bakar Renjong turut menari sambil berlawak dengan dua orang penari yang dipanggil masri. Inilah corak ghazal parti yang sebenar dan telah menjadi warisan seni.

Pemilihan lagu, corak persembahan dan latihan telah diuruskan oleh penulis/penyusun blog ini sendiri iaitu Omar M. Hashim atau lebih dikenali dengan panggilan Omara.

Dalam persembahan
perarakan selama dua minit ini  turut disaksikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Raja 
Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Turut hadir, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Yang Dipertua Melaka, Tun Khalil Yaakob; Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pesuruhjaya Warisan, Datuk Prof Emeritus Siti Zuraina Abdul Majid dan Pengarah Biro Sains Rantau Asia dan Pasifik, Pejabat Unesco, Jakarta yang mewakili Ketua Pengarah Unesco, Hubert J Gijzen kepada Menteri Pelajaran merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia, Datuk Seri Hisham-muddin Hussein.

Semoga kesenian warisan Ghazal Parti ini akan terus dimartabatkan di persada seni tanahair dan tidak hilang ditelan zaman.



Isnin, 13 Oktober 2008

NOSTALGIA - Kenangan Tiga Pelawak Ghazal Parti

Kepada peminat-peminat ghazal parti di utara, tentu ramai yang masih ingat lagi dengan tiga orang pelawak ini. Mereka ialah Non ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Man Telo, Jaafar Osman dan Ismail Don.

Telatah mereka berlawak sungguh menggelikan hati dalam setiap persembahan Irama Baru Ghazal Parti Bukit Tengah.

Non dan Ismail Don telah kembali ke Rahmatullah. Jaafar (di tengah) kini tinggal di Jalan Pengkalan Bukit Tengah dan aktif dalam bidang kemasyarakatan di tempatnya. Jaafar masih lagi berlawak walaupun setelah bersara dari Pos Malaysia.

Isnin, 29 September 2008

GHAZAL PARTI SEKARANG

Gambar oleh Omar M. Hashim (OMARA). Jika anda ada gambar-gambar lain persembahan Ghazal Parti sila hantar ke email: omara353535@hotmail.com

Jumaat, 12 September 2008

Maksud Ghazal.......


Ghazal berasal daripada perkataan Arab ‘Ghaz’ yang bermaksud nyanyian yang ditujukan kepada wanita.


Ghazal daripada segi bahasa bermaksud mainan cinta, ungkapan-ungkapan cinta atau ucapan-ucapan yang diluahkan kepada wanita atau berkata-kata dengan wanita.


Ghazal juga dikenali sebagai suatu bentuk puisi nasyid iaitu puisi-puisi yang memaparkan kisah percintaan penyair dengan kekasihnya.

Rabu, 14 Mei 2008

Ghazal Parti Di Ekspo Seberang Jaya 3 Jun Malam


Gabungan persembahan ghazal parti Kepala Batas dan ghazal parti Sungai Bakau akan mengadakan persembahan jam 9.00 malam 3hb. Jun 2008 di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Seberang Perai.

Bukan senang nak tengok persembahan ghazal parti secara lengkap iaitu Pemuzik, Penyanyi, Pelawak dan Penari. Pakat mai ramai-ramai....