GHAZAL, persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang. Ghazal berasal daripada tradisi muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah. Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan, meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan.

Persembahan Ghazal Party

Persembahan Ghazal Party

Selasa, 30 Jun 2009

Sayuti Hj. Ahmad Penggesek Biola Ghazal Parti Meninggal

Dengan sedihnya dimaklumkan, penggesek biola dan penyanyi lagu irama padang pasir Ghazal Parti saudara Sayuti Hj. Ahmad yang tinggal di Jarak, Seberang Perai telah kembali ke Rahmatullah petang tadi jam 3.30 petang (30hb. Jun 2009). Saya sahkan dengan Ahmadi Hassan di Kuala Lumpur dan Ahmadi menalifon kakaknya di Jarak dan dimaklumkan berita ini.

Dalam perbualan telefon saya dengan pemain akordian dan pemimpin Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas saudara Kassim, dia memberitahu pagi tadi jam 10 pagi dia jumpa dengan Allahyarham Sayuti di Bandar Perda, Seberang Perai. Allahyarham sempat berbual dengannya dan memberitahu dia ada bermain Ghazal Parti di Kedah malam sebelumnya.

Saya akan cuba dapatkan gambar Allahyarham selepas ini. Al Fatihah!

Isnin, 22 Jun 2009

Tiga Kumpulan Ghazal Parti Bergabung Di Satu Persembahan






Putih Hashim yang dahulunya dari Cahaya Mata Ghazal Parti Sungai Bakau kini tubuhkan pula Fajar Irama Ghazal Parti Sungai Bakau. Kerap juga mendapat undangan terutamanya di Majlis-Majlis Perkahwinan sekitar Utara.

Disiarkan di sini gambar-gambar persembahan Ghazal Parti yang diambil melalui rakaman video di Majlis Perkahwinan Permatang Pauh, Seberang Perai tidak lama dulu. Persembahan ini digabungkan dengan tiga kumpulan ghazal parti iaitu Fajar Irama Ghazal Parti Sungai Bakau, Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas dan Ghazal Parti Terolak, Perak. Pemain muzik ghazal parti dari Yan Kedah juga turut bersama.

Pelawak terdiri dari Ustaz Rashid Taliban dan Chop Misai Kontot. Dua orang penari juga turut serta (seorang daripadanya dari Taiping, Perak).

Begitulah bukan senang hendak mengadakan persembahan ghazal parti kerana sejak akhir-akhir ini bilangan ahlinya yang berkebolehan semakin berkurang. Ramai boleh bermain alat muzik tapi tidak tahu lagu-lagu berirama Padang Pasir yang menjadi tunggak utama persembahan ghazal parti ini. Pemain-pemain gambus, akordian, flute dan biola yang berpengetahuan irama ghazal parti juga semakin kurang.

Putih Hashim tidak pernah berputus asa. Usia tidak menghalang baginya untuk terus memperjuangkan warisan ghazal parti yang satu waktu dulu terkenal dan dibanggakan di Utara Malaysia ini.