GHAZAL, persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang. Ghazal berasal daripada tradisi muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah. Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan, meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan.

Cik Putih Hashim Lagenda Ghazal Parti

Ghazal Parti Persembahan Lengkap

Sabtu, 21 Februari 2009

Pak Don, Pemain Drum Asal Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas Meninggal Dunia


Pak Abdul Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Dun, 88tahun iaitu pemain drum asal Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas telah kembali keRahmatullah pada 19 Februari 2009 baru-baru ini kerana penyakit tua. Beliau yang berasal dari Prai, Seberang Perai meninggal dunia di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. 

Pak Dun adalah pemain Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas yang paling lama baru meninggal dunia. Beliau telah bermain ghazal parti semenjak awal tahun 1940an. Kadang-kadang jika pelawak Hassan Putu Mayong atau Hussin Kachong tidak ada, beliau juga bermain lawak jenaka. Pemergian Pak Don mengakhiri kumpulan pemain-pemain asal ghazal parti ini.

Semoga Allah cucurkan RahmatNya ke atas ruh Allahyarham.

Sabtu, 14 Februari 2009

Deris Cabai Kering - Pelawak Ghazal Parti Era 80an




Idris ataupun dalam bidang lawak jenaka dan persembahan ghazal parti beliau lebih dengan panggilan Deris Cabai Kering. Mungkin kerana Idris rendah dan kurus ketika itu maka gelaran 'cabai kering' diberikan kepadanya. Setahu saya Idris kerap berpasangan dengan Non Cina atau Zainal C. atau juga lebih dikenali dengan panggilan Pak Man Telo ketika berlawak.

Sebelum Pak Man Telo berpasangan lawak dengan Rosely Abdullah ataupun Chik, Idris adalah pasangan lawaknya di awal tahun 80an. Seperti pelawak-pelawak ghazal parti yang lain, penampilan deris dan non memang mencuitkan hati penonton. Mereka juga menari dengan penari-penari ghazal parti sambil beraksi telatah-telatah lucu. Beliau dan Pak Man Telo juga pernah muncul berlawak di Tv1 RTM dalam rancangan Jenaka terbitan A.R. Badul dalam tahun 80an.

Idris (gambar kiri paling terbaru yang saya ambil di Kampungnya Juru, Bukit Mertajam pada Disember 2008) kini tidak mahu berlawak lagi. Dia senang berniaga di kedai gunting rambut kepunyaannya di tepi jalan Juru.

Khamis, 5 Februari 2009

Maklumat Ghazal Parti Di Utara

Terima kasih kerana ramai juga yang meminati dan melayari Blog Warisan Ghazal Parti ini. Saya sedang berusaha mendapatkan bahan-bahan mengenai Ghazal Parti dari seluruh utara. Ada beberapa lagi kumpulan Ghazal Parti yang saya belum temui, antaranya ialah;

1. Ghazal Parti Sungai Baru, Kuala Kurau, Perak.
2. Ghazal Parti Sungai Petani, Kedah.
3. Ghazal Parti Mergong, Alor Setar, Kedah.
4. Ghazal Parti Bukit Raya, Pendang, Kedah.
5. Ghazal Parti, Terolak, Perak.
6. Ghazal Parti, Sungai Bayu, Selama, Perak.
dan beberapa kumpulan lagi.

Jika saudara/saudari mempunyai maklumat atau ada gambar-gambar yang berkaitan, silalah hubungi saya Omara - 013-4220091. Sama-sama kita martabatkan Warisan Ghazal Parti Utara.