GHAZAL, persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang. Ghazal berasal daripada tradisi muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah. Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan, meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan.

Cik Putih Hashim Lagenda Ghazal Parti

Ghazal Parti Persembahan Lengkap

Khamis, 22 September 2011

Abdul Rahman Alabaladi Minati Irama Ghazal Parti



Nama sebenarnya ialah Abdul Rahman bin Mohammad. Beliau dilahirkan dalam tahun 1944 di Kampung Delima, Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan. Namun beliau lebih dikenali sebagai Abdul Rahman Alabaladi mengambil sempena lagu ‘Alabaladi’ yang pernah satu ketika dahulu dipopularkan oleh seorang penyanyi tersohor dari Mesir iaitu Umi Kalthum. Lagu tersebutlah juga yang sering dipersembahkan oleh Abdul Rahman ketika beliau mengadakan persembahan.


Pada waktu itu Radio Malaysia kawasan Utara menyiarkan rancangan Ghazal Parti Kepala Batas di bawah pimpinan Ustaz Idrus Saidi. Rancangan tersebut menjadi rancangan yang paling diminati oleh Abdul Rahman. Akhirnya Abdul Rahman mencuba nasib datang ke Pulau Pinang kerana ingin berguru dengan Ustaz Idrus Saidi mendalami lagu-lagu berirama Padang Pasir.


Di Pulau Pinang beliau membuat beberapa percubaan untuk menghubungi anggota Ghazal parti Kepala Batas. Niat tulusnya untuk menimba ilmu tidak sia-sia. Beliau akhirnya berjaya juga berguru dengan Ustaz Idrus Saidi yang selama ini hanya dikenalinya melalui corong radio.


Tanpa jemu beliau terus belajar dengan Ustaz Idrus. Hubungan mereka yang semakin rapat hari demi hari akhirnya telah membuat Ustaz Idrus menerima Abdul Rahman untuk menganggotai kumpulan pancaragam Ghazal parti Kepala Batas. Keanggotaan itu membolehkan Abdul Rahman mempelajari muzik dengan lebih mendalam lagi. Beliau bukan sahaja diajar bermain gambus bahkan juga mula diajar untuk bermain seruling, satu intsrumen penting bagi mendendangkan lagu-lagu irama padang pasir.

Tiada ulasan: