GHAZAL, persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang. Ghazal berasal daripada tradisi muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah. Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan, meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan.

Cik Putih Hashim Lagenda Ghazal Parti

Ghazal Parti Persembahan Lengkap

Sabtu, 24 Disember 2011

Ghazal Parti di Majlis Kenduri anak-anak Omar Hashim (Omara)

Terima kasih kepada Cik Putih Hashim dan saudara Kassim Saidin, tokoh-tokoh Ghazal Parti yang datang bersama anggota kumpulan (Gabungan pemain Fajar Irama Ghazal Parti Nibong Tebal dan Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas) menyumbangkan persembahan beberapa buah lagu Ghazal Parti di Majlis Kenduri Kahwin anak-anak saya yang berlangsung pada 10 Disember 2011 di Kompleks Sony, Seberang Jaya, Seberang Perai. Tkasih juga kepada pemuzik dan komposer Zulkipli Omar yang turut bersama - dari saya penulis blog Omar Hashim (Omara).

Foto di atas sumbangan - Pak Wan (Jurugambar bebas dari Sungai Petani, Kedah).


Ahad, 13 November 2011

Putih Hashim Ghazal Parti Suka Berkunjung ke Kedai Muzik

Cik Putih Hashim atau Kak Teh tak puas-puas berkunjung ke kedai peralatan muzik di mana saja untuk menambahkan koleksi alat-alat muzik ghazal partinya. Bukan saja di Pulau Pinang, malah Kak Teh sanggup pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari alat muzik.



Khamis, 10 November 2011

Hassan Putu Mayong

 Terima kasih Cik Nor Faezah kerana menyumbangkan gambar-gambar Allahyarham Pak Hassan Putu Mayong, seorang pelawak Ghazal Parti yang terkenal di tahun 50an hingga 70an dahulu. Nama Hassan Putu Mayong juga memang tidak asing lagi di kalangan pelawak-pelawak di Utara Malaysia suatu ketika dulu. Saya sedang berusaha untuk mendapatkan bahan-bahan dan fakta sejarah hidup arwah.

Khamis, 27 Oktober 2011

Ghazal Parti dari akhbar Sinar Harian

Petikan akhbar Sinar Harian Jumaat, 12 Mac 2010


Sabtu, 22 Oktober 2011

Persembahan Ghazal Parti di Ekspo Beli Barangan Buatan Malaysia pada 21 Oktober 2011 bertempat di Queensbay Pulau Pinang.

Persembahan dari kumpulan Fajar Irama, Ghazal Parti, Parit Buntar, Perak.






Isnin, 17 Oktober 2011

Ghazal Parti di Queensbay P. Pinang 21 Oktober 2011


Saksikan Persembahan Ghazal Parti di Ekspo Beli Barangan Buatan Malaysia pada 21 Oktober 2011 bertempat di Queensbay Pulau Pinang jam 3.30 petang.

Persembahan dari kumpulan Fajar Irama, Ghazal Parti, Parit Buntar, Perak.

Ahad, 9 Oktober 2011

Ajinda Ghazal Parti di Pantai Merdeka Kedah


Gambar :Datuk Mukhriz bin Tun Mahathir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri bersama penonton menyaksikan persembahan ini.

Kumpulan Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas, Seberang Perai satu-satunya kumpulan asal dan pertama Ghazal Parti di Malaysia yang ditubuhkan 100 tahun dahulu diundang membuat persembahan di Program Juara Rakyat dan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2011 Parlimen Sg. Petani, Kedah.































Persembahan berlangsung di Pantai Merdeka, Kedah Darul Aman disaksikan ramai penonton termasuk Datuk Mukhriz bin Tun Mahathir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri.

Kumpulan Ajinda Ghazal Parti Kepala Batas dibawah pimpinan Encik Kassim Saidin dengan seramai 15 orang pemain muzik, penyanyi dan pelawak.

Banyak lagu-lagu yang didendangkan di majlis ini dan termasuk salah satu lagu berirama padang pasir yang popular Ala baladi el mahboub yang pernah dipopularkan oleh penyanyi yang tidak asing lagi Om kalthoum.

Pelawak terkenal Chik Pak Man Telo dan Chop Misai Kontot turut mempersembahkan jenaka mereka sambil menyanyi dan menari.

Selain penyanyi kumpulan ini Ustaz Majid, Ustaz Halim, Yusof Saidi dan ramai lagi, kumpulan ini juga mengetengahkan seorang penyanyi muda Intan Madura yang menyampaikan lagu-lagu Arab moden dan Melayu.







Gambar Bawah: Penyanyi Ustaz Majid sedang menyanyi dan disebelahnya pelawak Chop Misai Kontot sedang menari.

Khamis, 22 September 2011

Abdul Rahman Alabaladi Minati Irama Ghazal Parti



Nama sebenarnya ialah Abdul Rahman bin Mohammad. Beliau dilahirkan dalam tahun 1944 di Kampung Delima, Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan. Namun beliau lebih dikenali sebagai Abdul Rahman Alabaladi mengambil sempena lagu ‘Alabaladi’ yang pernah satu ketika dahulu dipopularkan oleh seorang penyanyi tersohor dari Mesir iaitu Umi Kalthum. Lagu tersebutlah juga yang sering dipersembahkan oleh Abdul Rahman ketika beliau mengadakan persembahan.


Pada waktu itu Radio Malaysia kawasan Utara menyiarkan rancangan Ghazal Parti Kepala Batas di bawah pimpinan Ustaz Idrus Saidi. Rancangan tersebut menjadi rancangan yang paling diminati oleh Abdul Rahman. Akhirnya Abdul Rahman mencuba nasib datang ke Pulau Pinang kerana ingin berguru dengan Ustaz Idrus Saidi mendalami lagu-lagu berirama Padang Pasir.


Di Pulau Pinang beliau membuat beberapa percubaan untuk menghubungi anggota Ghazal parti Kepala Batas. Niat tulusnya untuk menimba ilmu tidak sia-sia. Beliau akhirnya berjaya juga berguru dengan Ustaz Idrus Saidi yang selama ini hanya dikenalinya melalui corong radio.


Tanpa jemu beliau terus belajar dengan Ustaz Idrus. Hubungan mereka yang semakin rapat hari demi hari akhirnya telah membuat Ustaz Idrus menerima Abdul Rahman untuk menganggotai kumpulan pancaragam Ghazal parti Kepala Batas. Keanggotaan itu membolehkan Abdul Rahman mempelajari muzik dengan lebih mendalam lagi. Beliau bukan sahaja diajar bermain gambus bahkan juga mula diajar untuk bermain seruling, satu intsrumen penting bagi mendendangkan lagu-lagu irama padang pasir.

Ahad, 18 September 2011

Ghazal Parti Seri Sinaran Bayu Baling

Kumpulan Ghazal Parti Seri Sinaran Bayu Baling

Ketua Kumpulannya, Mohd Jamil Zakaria, 48, berkata, kumpulan ini mula diwujudkan dua tahun lalu hasil permintaan penduduk setempat yang menggalakkan.

Semua anggota kumpulan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan alat muzik dan ada anggota merupakan ahli kumpulan kugiran. Jumlah ahli kumpulan ini seramai 16 orang sentiasa memberikan komitmen padu untuk mengangkat seni Ghazal Parti ini

Kebanyakan alat muzik ini diberikan pemain-pemain lama yang tidak dapat lagi meneruskan persembahan mereka.

Ghazal Parti memang sinonim dengan irama padang pasir, namun, kumpulan ini turut menyelitkan nyanyian pop mengikut cita rasa pendengar. Ghazal Parti bukan saja diminati oleh golongan Melayu, tetapi juga masyarakat Siam yang tinggal di daerah ini. Sehubungan itu, penyanyi kumpulan ini mampu menyanyikan lagu siam untuk memaksimumkan kepuasan pendengar.

Alat muzik asas dalam Ghazal Parti antaranya, gambus, biola, akordion, seruling, dram atau rebana.

Ghazal Parti dalam Web Tradisi Rakyat Pulau Pinang

Terima kasih kepada Kumpulan UITM yang telah mengumpulkan maklumat mengenai Kesenian Warisan Ghazal Parti.

Semuanya telah diabadikan dalam Web http://www.tradisirakyat.com/lagu_ghazal.htm Web ini yang telah dilancarkan tahun lalu diberinama Laman web tradisi rakyat Pulau Pinang dengan kerjasama Persatuan Bahasa Malaysia USM.

Selain dari Ghazal Parti, seni warisan lain dari Pulau Pinang juga turut dipaparkan.

Ahad, 7 Ogos 2011

Ghazal Parti di George Town Festival 2011

Gambar gambar persembahan Ghazal Parti di Sambutan Ulangtahun ke 3 Peristiharan George Town Bandar Warisan Dunia di Pulau Pinang pada 7 Julai 2011 lepas.


Persembahan oleh Kumpulan Ghazal Parti Fajar Irama, Nibong Tebal, Sungai Bakau, Perak di bawah pimpinan Cik Putih Hashim dan dibantu oleh Abdul Jalil.

Penyanyi - Cik Putih Hashim, Elias Yusoff, Habsah dan Hawa Ashikin.
Pelawak: Chop Misai Kontot
Persembahan pertama jam 6 petang dan persembahan kedua jam 9 malam di pentas yang sama.





Ahad, 19 Jun 2011

20 Jun 2011 - Persembahan Ghazal Parti di USM Pulau Pinang jam 8.00 malam

Khamis, 21 April 2011

Mokhtar Basri dan Elias Yusuf Muncul Kembali Dalam Ghazal Parti



Mokhtar Basri, penyanyi Ghazal Parti yang tidak asing lagi dalam zaman kegemilangan seni warisan ini tidak lama dulu. Beliau kini sudah berusia 62 tahun, mula bermain dengan Kumpulan Cahaya Mata Ghazal Parti Sungai Bakau sejak tahun 1971.

Selepas itu Mokhtar juga terlibat dengan kumpulan Seri Cahaya Muda, Tanah Kebun, Simpang Lima, Suara Gunung dan kemudian berpindah ke Kuala Rompin, Pahang pada tahun 1986 hingga sekarang.

Mokhtar tidak sangka, dia baru pulang ke kampungnya di Parit Buntar bulan Mac 2011 lepas, kebetulan diajak semula menyertai persembahan kumpulan Ghazal Parti Fajar Irama yang sebahagian ahli-ahli dan pemimpinnya terdiri dari Kumpulan Cahaya Mata Ghazal Parti Sungai Bakau dulu.

Gambar atas: Penyanyi lama Ghazal Parti Elias Yusuf (yang juga baru muncul semula setelah lama mendiamkan diri) bersama dengan Mokhtar Basri.
Gambar tengah dan bawah, Mokhtar sedang menyampaikan sebuah lagu hindustan dalam persembahan di George Town, Pulau Pinang baru baru ini.

Menurut Mokhtar, mungkin dia akan kembali semula ke Pahang selepas ini. Ghazal Parti tetap tinggalkan kenangan buatnya.

Ahad, 30 Januari 2011

Rumah dan Kesemua Alat Muzik Ghazal Parti Putih Hashim Musnah







Pada 13 hb. Januari 2011, rumah Cik Putih Hashim penggiat Ghazal Parti habis terbakar dan Cik Putih yang tiada di rumah ketika itu hanya tinggal sehelai sepinggang. Paling menyedihkan, Kesemua alat-alat muzik Ghazal Parti kepunyaannya juga turut musnah. Antaranya tiga buah akordian, empat buah biola, drum set, konga drum, flute, marakas, gambus, amplifier dan beberapa peralatan lagi. Alat muzik double bass yang telah disampaikan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam satu majlis di Pulau Pinang tidak lama dulu juga turut hangus.

Saya segera ke rumah tersebut yang letaknya di Bandar Parit Buntar, Perak dan temui Cik Putih, rakan-rakan Ghazal Parti dan jiran yang ramai berada berhampiran rumah tersebut. Cik Putih bertenang dan terima dengan Redha apa yang berlaku. Dia bersyukur kerana selamat. Cuma ketiadaan alat-alat muzik ini akan mendatangkan masalah kepada kumpulan Ghazal Partinya yang sentiasa aktif dan kerap mendapat undangan persembahan di sana sini.

"Alhamdullilah... ramai yang membantu saya dan menderma dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang tak putus-putus melawatnya", kata Cik Putih. Kini beliau tinggal di sebuah rumah lain tidak jauh dari tempat kejadian dan berharap dapat meneruskan perniagaan kedai makannya di tapak itu semula selepas ini.

Gambar: Rumah Cik Putih sebelum terbakar tahun 2010. Gambar kebakaran pada 13 Januari 2011 dan Gambar Pengarah Warisan Tak ketara Jabatan Warisan Negara En. Siri Neng Buah ketika saya bawa melawat rumah tersebut baru-baru ini.

Semoga Cik Putih akan dapat aktif semula dalam memartabatkan Warisan Ghazal Parti selepas dapat memiliki semula alat-alat muziknya nanti.