Dalam persembahan asal Ghazal Parti, alat muzik 'double bass' merupakan tarikan penting kepada persembahannya. Walaupun alat muzik ini besar dan sukar untuk di pindahkan ke sana ke mari, namun penggunaannya adalah dimestikan. Sebuah kereta atau van perlu untuk membawa 'double bass' ini.
Saya sendiri yang membesar di zaman kegemilangan Ghazal Parti di Utara memang terhibur mendengar alunan muzik irama padang pasir yang dimain dengan menggunakan double bass. Bagi saya dari segi pendengaran, double bass mempunyai getaran yang lebih dan bergema dalam setiap persembahan berbanding dengan gitar bass biasa yang menggunakan elektrik. Mungkin kerana tali alat muzik besar ini ditarik oleh pemainnya dan sesuai pula dengan badannya yang besar dapat menghasilkan dengung yang tegap.
Bentuk double bass juga menarik (sama tinggi dengan pemainnya). Pelawak-pelawak Ghazal Parti zaman dahulu kerap menggunakan alat muzik ini sebagai bahan lawak jenaka mereka di pentas. Saya pernah saksikan pelawak Harun Kastila dan Daud Bujang menggunakan double bass sebagai motosikal dalam lawak mereka. Begitu juga pelawak Hassan Putu Mayong yang banyak mendapat idea lucu dari alat ini.
Mungkin kerana bentuknya yang besar dan tinggi (berat juga) membuatkan persembahan-persembahan Ghazal Parti sekarang tidak lagi menggunakannya. Gitar Bass menggantikannya kerana lebih mudah dibawa ke mana-mana. Dalam rakaman Ghazal Parti untuk rancangan Harmoni Malaysia di TV1 tidak lama dulu, saya yang menguruskannya meminta pihak penerbit rancangan tersebut menyediakan Double Bass untuk persembahan Aginda Ghazal Parti Kepala Batas. Saya ingin kembalikan nostalgia Ghazal Parti asal yang kini banyak berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan