GHAZAL, persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang. Ghazal berasal daripada tradisi muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah. Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan, meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan.

Cik Putih Hashim Lagenda Ghazal Parti

Ghazal Parti Persembahan Lengkap

Sabtu, 9 Februari 2008

GHAZAL PARTI SUNGAI BAKAU MUNCUL KEMBALI

“Putih Hashim tidak dapat duduk diam tanpa ghazal parti. Dari muda hinggalah sekarang, dia masih sayangkan ghazal parti. Semasa berkunjung ke rumahnya di Parit Buntar, Perak, saya dapati banyak sekali peralatan muzik ghazal parti disimpan di rumahnya. Semuanya dijaga dengan baik. Malah beliau yang membahasakan dirinya ‘Kak Teh’ memberitahu, hingga sekarang dia masih lagi mahu menambah bilangan alat-alat muzik ghazal parti untuk simpanannya.

Biola sudah serasi dengannya. Jika ada undangan, samada dalam persembahan ghazal parti, muzik asli dan sebagainya, Kak Teh tetap menjinjing biola kesayangannya ke majlis tersebut.”

Sebut saja Kumpulan Ghazal Parti Sungai Bakau, ramai orang tahu. Di penghujung tahun '60an hingga 70'an, Ghazal Parti Sungai Bakau memang cukup popular.

Sebenarnya kumpulan yang tidak asing lagi di Utara Malaysia ini tempatnya ialah di Sg. Bakau, Parit Buntar, Perak. Dipimpin oleh Putih Hashim seorang pemain biola dan penyanyi lagu-lagu berirama padang pasir.

Di majlis-majlis perkahwinan ketika itu tidak lengkap sekiranya tiada persembahan ghazal parti. Tentu ada yang masih ingat lagi penyanyi - Mat Isa Din, pelawak Harun Kastila, Daud Bujang dan juga beberapa orang penarinya.

Patah tumbuh hilang berganti, begitulah kata pepatah melayu. Kemunculan ghazal parti moden dengan lagu-lagu hindustani dan pop akhirnya telah menenggelamkan kumpulan-kumpulan ghazal parti ala arab yang lebih mengutamakan lagu-lagu berirama padang pasir. Ghazal Parti Sg. Bakau juga turut lenyap.

Kumpulan ghazal parti moden tidak tahan lama. Selepas itu boleh dikatakan tidak ada lagi ghazal parti di utara. Sehinggalah Putih Hashim yang juga turut menyepi akhirnya tergerak hatinya menghidupkan kembali kumpulan ghazal partinya iaitu Ghazal Parti Sungai Bakau. Mat Isa Din telah meninggal dunia, Harun Kastila dan rakannya tidak berlawak lagi.

Putih Hashim telah menyusun kembali beberapa orang lama dan baru untuk menjayakan persembahannya. 'Fajar Irama Ghazal Parti' menggantikan nama dulunya 'Cahaya Mata Ghazal Parti'. Tapi ramai yang lebih senang memanggil kumpulan ini dengan nama Ghazal Parti Sg. Bakau.

Dapatkah Ghazal Parti Sungai Bakau terus bertahan? Kak Teh tetap yakin dan dia bercadang hendak membesarkan lagi kumpulannya hingga menjadi sebuah orkestra.

1 ulasan:

Bancik berkata...

Memang ghazal amat popular semasa saya kecil dahulu terutama apabila ada kenduri kendara. Kemudian beralih kepada tayangan video dan lama-kalamaan persembahan ghazal semakin lenyap di sungai Bakau.

Namun Harun Kastila , masih aktif dengan kumpulan Marhabannya di sana.Kumpulan marhaban pun semakin tiada pelapis apabila kebanyakan pelapis di zaman saya kanak-kanak sekitar tahun akhir 90 an mulai dewasa dan berhijrah ke tempa lain.