GHAZAL, persembahan muzik dan nyanyian lagu-lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang. Ghazal berasal daripada tradisi muzik Arab yang wujud sejak zaman jahiliah. Dalam bahasa Arab, ghazal bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Dalam masyarakat Melayu, ghazal mempunyai pelbagai fungsi antaranya sebagai alat hiburan, meraikan upacara berkhatan dan perkahwinan.

Cik Putih Hashim Lagenda Ghazal Parti

Ghazal Parti Persembahan Lengkap

Isnin, 28 September 2009

Ghazal Parti di Halaman Rumah Putih Hashim Parit Buntar






Usaha Putih Hashim mengadakan pementasan khas Ghazal Parti di perkarangan rumahnya di Parit Buntar, Perak patutlah dipuji. Kak Teh yang sepanjang hidupnya tidak pernah melupakan seni warisan ghazal parti ini berjaya menarik begitu ramai penonton dari berbilang kaum kerana ianya diadakan di tepi sebatang jalan (Jalan Abd. Raof), Parit Buntar di kawasan bandar yang ramai orang lalu lalang di situ.

Ramai pemain yang terlibat, tidak seperti biasa kali ini menampilkan tiga orang pemain biola termasuk beliau sendiri sebagai pemimpin Fajar Irama Ghazal Parti Sungai Bakau, dua orang pemain akordian dan beberapa alat muzik lain. Ahli-ahli Ghazal Parti dari Trolak, Perak Selatan juga turut bersama. Persembahan itu juga sempena meraikan anak jirannya yang menyambut hari jadi di situ.

Ketika persembahan baru bermula, sedangkan penonton riuh ketawa dengan jenaka pelawak-pelawak ghazal parti dan undangan khas pelawak Chik (Salah seorang pelawak Pak Man Telo) yang juga pelakon filem dan drama tv, dan ketika penari-penari sedang menghiburkan penonton dengan tarian mengikut irama persembahan tiba-tiba pengacara meminta pelawak hentikan babak jenaka mereka secara mengejut. Pengacara juga gagal memperkenalkan barisan pelawak yang merupakan acara wajib dalam satu-satu persembahan Ghazal Parti ini.

Pengacara, pelawak dan penari seperti berasingan. Beliau kelihatan tidak peka terhadap persembahan malam itu. Nyanyian kerap dari pengacara dan pemilihan beberapa lagu biasa terutama lagu P. Ramlee dan Saloma telah menukarkan mood persembahan malam itu dari Ghazal Parti kepada persembahan Malam Pancaragam Kampung. Pelawak Chop Misai Kontot dan Chik Pak Man Telo telah meninggalkan majlis lebih awal dari yang dijangkakan dan diikuti juga oleh penari-penari pada malam itu.

Perlu diingatkan, persembahan sebenar Ghazal Parti ialah gabungan Pemuzik, Penyanyi, Penari dan Pelawak. 80% lagu-lagunya mestilah berirama padang pasir (Arab dan masri). Ghazal Parti adalah satu persembahan 'tanpa henti' (non stop) yang akan diselang selikan dengan telatah lucu lawak jenaka. Saya yang bertanggung jawab membawa kumpulan pelawak pulang awal bersama-sama kerana mendapati persembahan ini sudah menjadi persembahan pancaragam sahaja. Saya minta ampun dan maaf kepada Kak Teh (Putih Hashim) kerana saya seorang pejuang seni warisan Ghazal Parti yang bertanggung jawab melihat sebuah persembahan yang sebenar. Saya tidak berniat merosakkan majlis tersebut yang telah diusahakan susah payah oleh beliau ini.

Selasa, 22 September 2009

Ghazal Parti Khas di Parit Buntar Perak 26 September 2009


Kumpulan Fajar Irama Ghazal Parti, Sungai Bakau, Parit Buntar, Perak akan mempersembahkan sebuah persembahan ghazal parti khas secara percuma berhampiran rumah pemimpin dan penyanyi utamanya Putih Hashim di Parit Buntar, Perak.

Putih Hashim ataupaun yang lebih mesra dengan panggilan Kak Teh memberitahu, beliau akan membuat satu persembahan yang menggabungkan beberapa orang pemuzik, penyanyi, penari dan pelawak tempatan. Tujuannya untuk memberi peluang kepada peminat-peminat seni warisan ini di mana saja berada untuk sama-sama menghayati persembahan ghazal parti yang sebenar.

Pada: 26hb. September 2009
Waktu: Jam 9.00 malam
Tempat: Jalan Abd. Raof, Parit Buntar, Perak
Gambar Kiri: Putih Hashim (kanan) sedang menyanyi.
Gambar Kanan: Peta Lokasi Persembahan.